6/23/2010

Masalah : Beri Alasan atau Cari Jalan

 Saudaraku, mari kita rendahkan diri kita sejenak, agar bisa kita mengambil pelajaran, agar dapat kita mengambil iktibar, moga berhasil kita meraih keteladanan, dari sahabat seperjuangan kita di belahan bumi yang lain. Dalam ratapan dan kekecewaan kita untuk menatijahkan sebutir harap buat gerakan-gerakan Islam di Malaysia, kita sering cepat melatah bahawa ISA, bahawa AUKU, bahawa polis dan sebagainya, sebagai batu penghalang yang seakan selamanya membantutkan usaha dakwah kita daripada mencapai kejayaan yang kita harap-impikan.

Saudaraku, Apakah dikau sedar betapa Tuhan kita Yang Maha Esa tidak membebankan kita dengan hal yang justeru di luar batas kemampuan kita? Sebegitu Tuhan tidak membebankan mereka saudara seperjuangan kita di belahan bumi luar sana, sebegitu jugalah Tuhan tidak membebankan kita (dengan beban yang tidak tertanggung oleh kita). Bezanya kita dengan mereka, mereka tidak cepat melatah. Mereka tidak kaya alas an. Mereka sentiasa optimis betapa di dalam dakwah ini, tidak ada perkara yang mustahil, tatkala kekuatan dan pengharapan telah disandarkan kepada DIA, Tuhan Yang Maha Berkuasa.

Andai saja Tuhan bisa memunculkan seorang Musa di tengah-tengah istana Firaun, hatta di bawah “sponsor” Firaun sendiri, apalah yang mustahil untuk gelombang tarbiyah menumbangkan seorang Suharto di Indonesia, hingga mana kader dakwah bisa sampai hingga ke taraf ketua MPR Republik Negara itu? Apalah yang mustahil untuk gerakan yang masyhur dengan tuduhan teroris, HAMAS, untuk kekal di hati rakyatnya lalu memenangi pilihanraya Palestin dengan jaguhnya?

Apakalah mustahil untuk Ikhwanul Muslimin, biarpun dahulu hatta hingga kini masih dilanda “badai penangkapan” para kadernya oleh pemerintahan Mesir, namun tetap menjadi pembangkang terbesar di parlimen Negara para anbiya’ itu?

Dan, Negara yang tentunya lebih dahsyat kesekulerannya berbanding kita, Turki, pun memperlihatkan kepada para pendokong sekularisme, kepada tentera, bahkan kepada dunia, kebangkitan Islam yang begitu dibimbangi oleh mereka.

Bahkan 'Persatuan' Islam paling besar di negara kita, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang sering difitnah sejak dahulu hingga kini di berbagai media, kini masih mampu mengekalkan sokongan umat Islam padanya malah sejak akhir-akhir ini buktinya, tertubuhnya sayap parti baru khas bagi penyokong bukan Islam yang terus mempercayai PAS. Suatu perkembangan yang tidak disangka langsung oleh PAS sendiri.

Kita gagal, lantaran kita tidak mahu belajar daripada mereka. Kita gagal, lantaran kita cukup kaya dengan alasan. Kita gagal, lantaran lunturnya nilai tawadhuk dan maraknya kesombongan dalam diri kita, hingga enggan belajar daripada gerakan Islam lain di luar sana.

Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW memperkudakan system Jahiliyah, dengan kembali semula ke Mekah dari Thaif, dengan bersandarkan system perlindungan atas jaminan sang Musyrik Muth’am bin Adi. Atau, tatkala semangat Asabiyah digunakan ar-Rasul hingga -menurut kata Syaikh Munir Muhammad Gadhban- semua putra Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib, kecuali Abu Lahab dan anaknya- menyambut seruan untuk melindungi dan membela Rasulullah daripada gangguan dan tangkapa Quraisy, biar mereka sendiri tidak berimana pada ajarannya.

Kalaulah AKP, parti pemerintah Turki yang disyaki Islamik, mengambil dasar mendekati Negara-negara Timur, bukankah dinasti singkat Erbakan menjadi bukti usaha dan harapan mengembalikan Islam di bumi khalifah itu tidak akan ke mana? Lalu, dengan mengambil usaha mendekati Kesatuan Eropah, bukankah memanfaatkan dasar dan pendirian Negara-negara kuffar itu, yang menghormati kebebasan beragama, lebih berhikmah dalam mengembalikan Islam ke tempatnya yang sebenar? Apakah wajar kita menyelar mereka -para pemimpin parti AKP- sebagai sudah lari daripada landasan perjuangan?

Sabar saudaraku, dan mari kita belajar, sepak terajang dunia dakwah, seperti yang sedang dipertontonkan saudara seperjuangan kita di luar sana. Moga cahaya dakwah akan kembali bersinar di bumi bertuah Malaysia.

“Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya). Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan kepada Firaun dan Haman bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan dari golongan yang bertindas itu.”
(Surah al-Qashas 28:5-6)

6/13/2010

Dakwah Tak Memerlukan Anda !

Tarbiyyah bukan untuk orang yang malas.

Dakwah bukan untuk orang yang takut nak bergerak dan mencabar diri.

Tarbiyyah bukan untuk orang yang cepat bosan, lari, lompat-lompat, sekejap down-sekejap up, cepat terasa.

Tarbiyyah bukan bagi orang yang memilih program untuk dia ikuti yang senang dan mudah join, yang penat, bersusah payah elak.

Bukan untuk orang yang mencari tarbiyyah hanya bila terasa diuji oleh tuhan. Kalau tak, batang hidung pun tak nampak.

Bukan bagi yang meletakkan dakwah hanya untuk mencari calon akhawat atau ikhwah sebagai sang isteri dan suami.

Yang join hanya untuk meminta tolong teman-teman pencerahan bila dia dalam kesusahan. 

Tapi kesenangan dan kelebihan yang dia dapat, tak share pun dengan orang lain.

Yang cepat mengalah,

Yang meletakkan multaqa', qiamullail, daurah, dan tamrin dalam diari hanya selepas ditolak dengan semua agenda dan upacara-upacara penting’ yang lain.

Yang hanya pandai cakap (dan menulis), tapi amal kosong.

Yang hanya tahu compare jamaah itu dengan jamaah ini, yang boleh mengkritik dan menilai harakah ini dan itu.

Dakwah bukan untuk orang yang ikut liqa’ hanya kerana nak disebut sebagai ahli dalam harakah ini dan itu, jamaah ini dan itu.

Dakwah bukan untuk orang yang tak boleh diberi tugasan last minute.

Dakwah bukanlah untuk orang yang tak nak keluarkan duit, infaq di jalan Allah.

Dakwah bukan untuk orang yang tak boleh sesekali tidur lewat, terpaksa berjalan jauh.

Dakwah bukan bagi orang yang kalau ada program untuk ikut terlibat, mesti naik motokar besar dan mewah, yang air-cond, dan laju. 

Yang tak nak naik bas, public transport, dan yang kena berpeluh-peluh.

Tarbiyah bukan untuk orang yang kena contact dan info dia setiap masa tentang perkembangan terkini sedangkan dia kena macam boss, hanya tunggu information.

Pencerahan bukan bagi mereka yang hanya nak berkawan dengan orang berduit dan berharta, yang hidup mewah, dan mengelak berkawan dengan orang susah, miskin, dan pakai comot.

Dakwah bukanlah untuk orang yang setiap masa dan ketika, kerja nak beri alasan ini dan itu. Penat, mengantuk, susah, banyak kerja, keluarga tak bagi keluar.

Tarbiyyah bukanlah segala-galanya. Tapi segala-galanya memerlukan tarbiyyah.

Tanpa anda, orang yang sering beralasan ini, dakwah akan terus berjalan. Islam akan tetap berjaya. Ummah akan tetap terpelihara.

Cuma tanpa pencerahan, Tanpa tarbiyyah, Tanpa dakwah Belum tentu kita akan berjaya di mahsyar nanti.

Tak mengapa. Teruskan hidup anda seperti biasa. Dakwah tak memerlukan anda. Tiada siapa pun yang rugi tanpa kehadiran anda.

Berbahagialah seadanya.

Saya menghitung diri. Terlalu kerap menuturkan. “saya busy..saya sibuk..saya penat..saya letih..”
Adakah ini petandanya saya terlalu manja?
Ya Allah, tabahkan hamba-Mu. “amanah ini bukan hak milik, tp anugerah dr Nya”

"Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan ataupun berat, dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui" (Surah At-Taubah 9:41)

5/31/2010

Palestin-Ku


Buat sahabat-sahabat yang ingin mengetahui perkembangan terkini mengenai Konvoi Kemanusiaan Ke Palestin, Insya Allah lebih updated daripada laman sesawang seperti BH Online dan Utusan Online , saya sediakan laman webnya...


Dan

Buat Insan Islam Yang Memiliki Jiwa dan Hati Bak Umar Al-Khattab r.anhu 
( Jiwa Tegas Hati Lembut)

Berdoalah Seperti Qunut Nazilah di bawah walaupun sekadar membacanya melalui internet

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
ALLAHUMMA SOLLI A'LA MUHAMMAD WA A'LA ALIHI WASOBHI WASALLIM

 
"Wahai Allah tuhan kami, turunkanlah ke atas mereka kemarahan dan kesakitan dariMu yang tidak mampu ditolak oleh kaum yang berdosa. Ya Allah, bantulah muslimin dan pejuang Islam dalam petempurannya dengan Yahudi, Ya Allah bantulah kami untuk mengalahkan mereka di mana-mana sahaja, Ya Allah tunjukkanlah kepada mereka keajaiban kuasaMu, Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami menjadikan-Mu sebagai pendinding (kepada musuh2) kami, dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan mereka.Wahai Tuhan kami, wahai Tuhan yang menurunkan al-Kitab (al-Quran), dan wahai yang menjalankan awan, dan wahai yang menghancurkan tentera al-Ahzab, hancurkanlah Yahudi perampas dan penjajah dan bantulah kami ke atas mereka dan goyankanlah mereka.Wahai Tuhan kami, binasakanlah kesempurnaan mereka, dan pecah-belahkanlah jemaah/kesatuan mereka, dan gagapkanlah perkataan mereka (melalutkan kereka), pecah belahkanlah hati-hati mereka, goyahkanlah pendirian mereka, dan hantarkanlah anjing ke atas mereka dari anjing-anjing suruhanMu, wahai Tuhan Yang Maha Gagah Perkasa, wahai Tuhan Yang Maha Berani, wahai Tuhan Yang Maha Berdendam"

5/24/2010

Marilah Kita Menangis





Jika ramai manusia suka menonton rancangan hiburan, maka saya cenderung menonton rancangan tangisan. Bersamamu adalah antara favourite saya sejak dahulu lagi. Walaupun bukan setiap minggu saya menontonnya, namun di kala ada kesempatan saya tidak persiakan.

Bukan apa, paparan yang disiarkan mampu menjelmakan keinsafan dalam benak kita yang sekian lama terhidang dengan gelak tawa yang kadangkala melalaikan.

Mereka menggunakan pancaindera dengan penuh batasan. Kita pula menggunakannya dengan melampaui batas.

Nikmat mereka gunakan untuk makrufat. Kita pula bertujuan maksiat.

Kekurangan yang mereka alami merendahkan hati mereka pada Ilahi. Kelebihan yang kita rasai pula sentiasa meninggikan diri yang hina ini.

Mereka sering tidak lupa untuk memohon keampunan dan pertolongan dari-Nya. Menangis sudah sebati dalam jiwa. Manakala kita tatkala susah ditimpa musibah baru hendak kembali sujud pada-Nya. Menangis sekadar singgah di mata tapi tidak di mengesan di jiwa.

Syukur mereka syukur yang menambahkan ketabahan dalam menempuh rencah-rencah kehidupan. Syukur kita hanya sementara yang terus mehanyutkan kita pada dunia fana yang melupakan.

Inilah kita tatkala senang. Lupa dan alpa. Bila bala menimpa, baru sedar dari lena.


                         
Ini memang bukan kita...
tapi 
kita perlu menjadi sepertinya...
           
"Serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya) dan kamu tidak mahu menangis (menyesali kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu)?" (Surah An-Najm 53:60)
 

5/03/2010

Apa Nak Jadi Dengan Artis Kita...


Sakit. Sakit mata. Sakit hati. Sakit iman. Sakit semuanya bila melihat ketidaktentuan Malaysia hari ini. Melihat ketidaktentuan Islam kita hari ini. Melihat ketidaktentuan masyarakat kita. Melihat ketidaktentuan masyarakat ‘popular’. ‘Popular’ dalam tv, radio, majalah dan internet. ‘Popular’ dengan ‘keputihan kulit’, ‘kelangsingan badan’, ‘keayuan wajah’, ‘kecantikan rambut’. Menunjukkan ‘kebaikan’ memakai pakaian ‘adik’. Menunjukkan ‘keseronokan’ memegang tangan, berpelukan dan berbaring bersama antara lelaki dan perempuan di atas satu katil di atas tiket ‘berlakon’. Dedah sana, dedah sini. Buka sana, buka sini. Tutup yang sana, buka besar-besar yang sini pula. Yang tua sama seperti yang muda. Yang dah tua tak sedar diri. Yang masih muda merasa ajal masih jauh lagi. Artis-artis lelaki dan perempuan Islam yang melakukan demikian. Sama juga seperti kebanyakan personaliti tv. Seperti juga sebahagian pemimpin dan isteri pemimpin yang tidak kira berasal dari ‘pasukan’ bendera merah atau hijau atau biru. Di atas tiket ‘berlakon’, semua yang haram jadi halal. Yang halal diragui. Yang haram diyakini. Di atas ‘kesibukan masa’, arahan nafsu diberi laluan dahulu. Perintah agama ‘silalah beratur di belakang’.


Semua media menyiarkan ‘keayuan’ dan ‘kecantikan’ artis-artis kita. Artis-artis kita yang ber-cetak-kan Islam dalam Mykad mereka. Ya ber-cetak-kan Islam sebagai agama mereka. Tetapi mem-photostat-kan budaya orang barat kepada masyarakat kita melalui media. Menyerlahkan akhlak bak orang barat kepada masyarakat kita melalui media. Inilah sebenarnya fitnah yang maha dahsyat yang sedang menimpa masyarakat kita. Masyarakat remaja. Masyarakat kanak-kanak. Sehinggakan kanak-kanak hari ini telah di-mindset-kan dengan budaya kufur tersebut yang tanpa disangka dipromosikan oleh pemimpin2, artis2, personaliti2 tv kita. Tv dan radio menjadi saluran yang benar2 telah mengubah fitrah fikiran mereka. Fitrah yang telah Allah ciptakan sejak azali lagi yang mencintai kebaikan dan menjauhi perkara2 kebatilan. Fitrah fikiran yang bersih telah di-suci-kan dengan tontonan2 dan pandangan dosa serta mendengar perkara2 yang nyata sia2.

Bercampur perkara yang halal dengan perkara yang jelas haram. (Halal + Haram = Halam). Jika orang2 ini takut untuk melakukan sesuatu perkara yang ‘totally’ haram, maka dicampurkan sedikit perkara yang halal agar di-halal-kan juga perbuatan haram mereka. Namun yang silap laginya ialah mereka telah menganjurkan perkara yang halal tetapi tersengaja mencampurkan perkara yang haram. Menganjurkan konsert amal tetapi penontonnya, artisnya, tetamu VIP-nya melekehkan perintah simple menutup aurat. Perintah Allah supaya menjaga batas pergaulan dan percampuran antara lelaki dan perempuan disengajalupakan. Berpuasa penuh tiga puluh hari tetapi solat yang lima entah ke mana. Bersedekah bermacam-macam tetapi solat fardhu yang tak bermacam pun liat nak buat?. Menerbitkan filem2 islamik tetapi dia sendiri tak meng-islamik-kan diri selepas itu. Berceramah tetapi sambil itu mengutuk dan mencaci orang lain. Menyatakan adanya ketidakadilan dalam sistem kehakiman Islam tetapi aurat dirinya buat tak tahu pulak? Suatu bahagian dalam akhbar yang diterbitkan oleh orang Islam mengandungi tazkirah2 tetapi pada yang sama menerbitkan gambar2 artis yang jelas menggegarkan iman.

Jangan Hanya Jaga Diri!
Jaga Juga Diri Yang Lain!

"Dan sesungguhnya kita sekalian, sentiasa beringat dan berjaga-jaga." (Suray-Asy-Syua'ra' 26:56)

Teman Maya